Thursday, 29 October 2015

Lawatan Mahabbah PASTI Malaysia Ke PASTI Negeri Perak

IPOH - Pasti Negeri Perak telah menerima kunjungan Pasti Malaysia dalam rangka lawatan mababbah ke Pasti-Pasti negeri seluruh negara pada Sabtu 24 Oktober 2015 yang lalu.  

Lawatan yang diketuai oleh YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat, selaku Ketua Pengarah Pasti Malaysia turut disertai Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah iaitu En Abd Kader Dewa dan Dr Rozman serta beberapa ahli jawatankuasa Pasti Malaysia.  Turut serta Tuan Haji Rosli Suhaime selaku Setiausaha Pasti Malaysia.

Ketibaan Ketua Pengarah dan ahli-ahli rombongan disambut oleh Pengarah Pasti Negeri Perak, Ustaz Mohd Azahari Yahaya, Timbalan Pengarah III, Ustaz  Hasnizam Hassan serta ahli-ahli jawatankuasa Pasti Negeri Perak yang lain.  Turut dijemput dalam majlis meraikan lawatan mahabbah yang penuh bermakna ini, ialah semua guru-guru, ahli-ahli jawatankuasa Pasti kawasan, pengurus-pengurus Pasti cawangan seluruh Negeri Perak.
Sebahagian hadirin yang hadir.
Pasti Kawasan Taiping turut hadir dalam majlis tersebut dan diwakili oleh Pengerusi Pasti Kawasan Taiping, Saudara Fauzi Nisab serta beberapa ahli jawatankuasa serta guru-guru.
Wakil Pasti Kawasan Taiping.
Program yang diadakan di Markaz Pas Kawasan Tambun, Taman Meru bermula jam 9 pagi dengan ketibaan Ketua Pengarah serta ahli-ahli rombongan seterusnya dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Hasnizam Hassan.  Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan Pengarah Pasti Negeri Perak dan ucapan Ketua Pengarah Pasti Malaysia.

Dalam ucapan aluan Pengarah Pasti Perak, beliau mengharapkan hadirin yang dijemput dapat berkongsi pandangan, idea, masalah dan apa juga isu agar pihak pengurusan dapat memikirkan kaedah penyelesaian yang sesuai dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan Pasti.  

Ketua Pengarah pula dalam ucapan beliau menekankan komitmen para guru dan semua yang terlibat dalam pengurusan Pasti agar terus beristiqamah dengan usaha memajukan lagi Pasti yang kini menjadi perhatian pelbagai pihak.
YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat sedang menyampaikan ucapan.
Majlis diteruskan lagi dengan sesi dialog.  Pelbagai isu berkaitan Pasti telah diperbincangkan termasuklah isu pentadbiran, pengurusan, latihan praktikal dari agensi lain, kebajikan guru-guru, hal ehwal murid, pembangunan Pasti dan juga isu-isu semasa.  Sesi dialog berjalan dalam suasana yang harmoni.  Lebih membanggakan terdapat guru-guru yang mampu memberi cadangan dan idea-idea baru untuk diketengahkan. 
Sesi dialog
Selesai sesi dialog, cenderahati tanda kenang-kenangan disampaikan oleh Pengarah Pasti Perak kepada Ketua Pengarah Pasti Malaysia.  Semua tetamu dan hadiran diraikan dalam jamuan makan tengah hari.
Penyampaian cenderahati.

Tuesday, 14 January 2014

Naiktaraf lantai Pasti Al-Hidayah


Alhamdulillah.  Segala puji bagi Allah kerana dengan limpahan rahmatNya kerja-kerja naiktaraf Pasti Al-Hidayah 2 berjalan dengan lancar.  Kerja-kerja naik taraf yang menelan belanja lebih kurang RM 3,000 ini dibiayai sepenuhnya oleh para-para dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan demi melihat murid-murid Pasti Al-Hidayah 2 dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa.

      Kerja-kerja naiktaraf lantai ini dimulakan pada 31 Disember 2013 yang lalu bagi lantai sebelah dalam iaitu ruang belajar dan disambung pada 3 Januari 2014 bagi lantai sebelah luar iaitu ruang makan.  Walaupun masa agak kesuntukan masa kerja-kerja naiktaraf ini dapat disiapkan dengan sempurna atas komitmen semua pihak termasuk pihak kontraktor, guru-guru dan ahli-ahli jemaah surau yang sudi membantu.

     Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang memberi sumbangan samada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan kerja naiktaraf pasti ini.

     Dengan selesainya kerja naiktaraf ini diharapkan murid-murid Pasti Al-Hidayah 2 bagi Sesi 2014 yang bakal dimulakan pada 2 Januari 2014 dapat menikmati suasana yang lebih selesa.